Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Guru lewat ke kelas rugikan murid
Anonymous

Date: Jul 31, 2007
Guru lewat ke kelas rugikan murid
Permalink   


Guru lewat ke kelas rugikan murid

GURU yang suka lewat masuk kelas, biasanya memberikan pelbagai alasan seperti terlupa jadual atau tidak ingat.

Ada di kalangan guru yang memberikan alasan terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan. Malahan kadangkala memberikan alasan kononnya dipanggil guru besar atau pengetua.

Awal-awal tahun, ada guru buat-buat sibuk menyiapkan pelbagai borang dan data sehingga meninggalkan kelas.

Sekiranya mereka terpaksa menyiapkan tugasan yang amat penting, ini bolehlah dimaafkan.

Murid-murid yang datang ke sekolah saban hari mengharapkan ilmu pengetahuan daripada guru.

Sejak awal pagi mereka telah bangun meredah kesejukan pagi dengan satu niat yang maha suci untuk belajar.

Tetapi apalah malangnya nasib mereka apabila ada segelintir guru yang mengabaikan tugas untuk mencurahkan ilmu.

Sebenarnya pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas.

Yang pastinya, suasana bising dan huru-hara di dalam kelas. Murid-murid mengambil kesempatan berbual-bual dan berborak tanpa tujuan.

Murid-murid yang lebih berani lagi, mula keluar masuk kelas dengan bebas. Tandas menjadi tempat tumpuan mereka. Apabila berada di sana, perkara susulan seterusnya berlaku seperti menconteng dinding tandas dengan pelbagai ilham. Selain itu, di sekolah-sekolah menengah, pelajar akan mengambil kesempatan melepaskan gian merokok di tandas atau melakukan pelbagai gejala vandalisme.

Selain itu dengan ketiadaan guru di dalam kelas boleh menyebabkan suasana bising sehingga mengganggu guru mengajar di kelas sebelahnya. Sekiranya, secara kebetulan ketika itu sekolah dilawati orang luar, sudah tentu imej sekolah tersebut merudum.

Pelbagai andaian akan dibuat terhadap keseluruhan pentadbiran di sekolah itu.

Secara peribadi, penulis berpendapat seharusnya gejala lewat masuk kelas dan langsung tidak masuk kelas kerana alasan-alasan yang remeh-temeh sudah tidak boleh diterima lagi.

Sejak awal persekolahan lagi, guru-guru sudah dilengkapi dengan jadual waktu kelas dan jadual waktu peribadi. Pembahagian waktu mengajar adalah sama rata antara guru. Sesekali terlewat masuk kelas mungkin benar-benar guru tersebut terlupa atau ada hal mustahak yang perlu diselesaikan dengan pentadbiran. Ini boleh dimaafkan.

Guru hari ini adalah pembentuk generasi yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan.

Mana mungkin mereka akan mampu memimpin sekiranya ketika ini mereka diabaikan dan tidak diberi ilmu pengetahuan secukupnya.

Justeru seluruh warga pendidik perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk membentuk murid-murid ini menjadi warganegara yang berguna, berilmu, berdisiplin dan berketrampilan.

Guru-guru yang terlibat dengan gejala lewat masuk kelas atau ponteng kelas, harus sedar diri. Masih sempat untuk bertaubat dan tidak meneruskan tabiat ini kerana usia 2001 masih muda.

Pemerhatian dan pemantauan berterusan hendaklah dijalankan. Guru besar atau orang-orang kanannya perlu sentiasa turun padang. Sesekali masuklah ke kelas ketika guru sedang mengajar. Lihat hasil kerja murid kerana dari situ penilaian dapat dibuat secara spontan terhadap proses pengajaran-pembelajaran yang sedang berlaku di bilik darjah.

- KIRIMAN

ABD MANAF MAT

Sekolah Kebangsaan Kerambit,

27200 Kuala Lipis,

Pahang Darul Makmur.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard