Gejala sosial, Ibu bapa pengaruhi peribadi anak Oleh: HAFIDAH IBRAHIM PERCAYAKAH jika dikatakan kebanyakan anak zaman sekarang sudah berani merokok di hadapan orang tuanya dan lebih buruk, menengking balik ibu bapa yang menegur kesalahan mereka.
Inilah realiti sebenar yang dihadapi oleh institusi keluarga era siber apabila ibu bapa meletakkan kerjaya sebagai keutamaan berbanding anak-anak yang perlukan perhatian dan bimbingan.
Akibatnya, pelbagai gejala sosial ditimbulkan oleh anak-anak yang dahagakan kasih sayang ini antaranya terjebak dalam kancah yang membimbangkan seperti ponteng sekolah, lepak, vandalisme, peras ugut dan menonton bahan lucah.
Lebih buruk lagi, mereka juga terbabit dalam jenayah serius seperti merompak, merogol, menggugurkan kandungan serta membuang bayi.
Menurut penceramah dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Sorparno Sarlan, kepincangan sesebuah institusi keluarga merupakan salah satu faktor utama lahirnya anak-anak yang bermasalah khususnya dari segi akademik dan sosial.
``Karakter ibu bapa yang bersikap bengis, sukar bertolak ansur dan konservatif menjadikan anak-anak takut mendekati apatah lagi berkomunikasi dengan mereka,'' katanya.
Malah ibu bapa yang bermasalah ini juga sering tidak mempunyai mood untuk bergurau senda bersama anak-anak kerana dilingkari dengan masalah peribadi.
Akibat diri berasa terabai, anak-anak remaja ini menghilangkan rasa bosan dengan mencari hiburan di luar bersama rakan sebaya.
Justeru, para ibu bapa diseru merenung kelemahan diri sendiri sama ada mereka menjadi punca kenakalan anak itu.
``Ingatlah, tingkah laku ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak, jika kasarnya mereka maka anak-anak juga akan mewarisi sikap yang serupa,'' katanya.
Sorparno menjelaskan demikian di bengkel mengatasi kenakalan anak anjuran LPPKN yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Nasihatnya, ibu bapa juga perlu mengelak menggunakan perkataan kesat kepada anak seperti `bodoh' atau `pemalas' dan sebaliknya sebutlah `anak bertuah' walaupun sedang marah.
Mereka juga perlu memahami kehidupan berkeluarga yang sebenar untuk membentuk sahsiah anak-anak menjadi insan yang mulia.
``Kegagalan mereka melaksanakan tanggungjawab itu menyebabkan anak-anak terabai dan hilang pedoman.
``Malah dalam kajian media massa juga menyebut kebanyakan anak-anak remaja terpengaruh dengan tingkah laku liar apabila usia mereka meningkat 13 tahun,'' tegasnya.
Kaji selidik media massa itu juga mendapati, lebih 24 peratus kanak-kanak berusia 13 hingga 19 tahun sudah pandai melakukan aktiviti tidak bermoral seperti onani.
``Bukan setakat itu sahaja, mereka juga pandai menghidu gam dan merokok,'' katanya.
Justeru dalam suasana yang serba mencabar hari ini, Sorparno menasihati ibu bapa terutamanya yang bekerja agar mempersiapkan diri dari segi ketahanan mental dan fizikal untuk membesarkan anak-anak.
``Memandangkan lebih banyak masa dihabiskan di pejabat sekurang-kurangnya lapan jam, ibu bapa harus pandai menguruskan masa sebaik mungkin untuk berdampingan dengan anak-anak ketika di rumah,'' tegasnya lagi.
Keupayaan ibu bapa menguruskan masa dengan baik mampu membentuk anak cemerlang.
``Malah anak-anak cemerlang ini juga akan melontarkan kemarahannya dengan cara yang baik dan bukan dengan cara biadab dan kurang ajar,'' katanya.
Menurutnya lagi, selain pengurusan masa yang baik, ibu bapa perlu pastikan mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk memenuhi permintaan anak-anak yang berkehendakkan sesuatu yang diminati.
Untuk memastikan sumber kewangannya kukuh, ibu bapa perlu merancang dengan bijak dan jangan terlalu boros terhadap perkara yang tidak perlu.
Mereka juga diingatkan supaya tidak membezakan anak perempuan dengan lelaki memandangkan masing-masing mempunyai potensi dan kreativiti tersendiri.
``Mungkin anak itu tidak bijak dari segi akademik tetapi dia cemerlang dalam kegiatan sukan,'' tegasnya lagi.
Beliau juga mengingatkan setiap pasangan ibu bapa supaya tidak menghamburkan kemarahan kepada anak-anak di depan adik beradik atau rakan yang lain kerana ia akan menyebabkan anak berasa malu.
Malah pembentukan sahsiah anak-anak akan berjaya jika ibu bapa menyemaikan perasaan kasih sayang, bertolak ansur dengan anak-anak.